KIEV: Kini lebih 200 beg hitam yang mengandungi mayat-mayat mangsa nahas MH17 disimpan dan dipindah ke gerabak kereta api barang yang dilengkapi dengan alat penghawa dingin.
Urusan pemindahan mayat-mayat ini dilakukan oleh pihak pemisah Ukraine yang pro-Rusia sejak Sabtu.
Walaupun mendapat tentangan dan kritikan antarabangsa tetapi askar-askar puak pemisah berkata itulah langkah terbaik yang boleh mereka lakukan kerana mayat-mayat mangsa yang telah dikutip dan dikumpulkan dari tempat nahas telah berbau.
Sebelum itu, mayat-mayat mangsa telah dibiarkan terdampar di tepi jalan dan di tempat pesawat malang itu terhempas sejak Sabtu dan musim panas di Eropah sekarang menjadikan situasi semakin sukar.
Sebahagian besar pekerja yang ditugaskan membantu mengangkut mayat-mayat itu didatangkan khas dari sebuah lombong yang berdekatan bagi mempercepatkan proses memindah ke gerabak kereta api.
Isu berkaitan urusan pengurusan mayat mangsa dan juga bangkai pesawat di tempat kejadian menjadi perdebatan antarabangsa kerana puak pemisah yang pro-Rusia menghadkan kemasukan pasukan antarabangsa yang dihantar ke tempat kejadian oleh kerajaan pusat Ukraine.
Kini gerabak-gerabak berhawa dingin itu di tempatkan di Stesen Kereta Api Torez sembilan batu dari tempat kejadian.
Timbalan Perdana Menteri Ukraine, Volodymyr Groysman memberitahu satu sidang akhbar di Kiev sejumlah 192 mayat telah dipindahkan ke gerabak-gerabak berhawa dingin itu.
No comments:
Post a Comment