Wednesday, 19 March 2014

“Kalaulah Saya Berada Dalam Pesawat Itu…” Eja

type='html'>
Dramatis popular Eja turut berasa sedih dan terkesan mendengar berita kehilangan pesawat syarikat penerbangan Malaysian Airlines, boeing MH370 yang sehingga kini masih belum ditemui. Lebih-lebih lagi, Eja sebelum juga pernah bertugas sebagai pramugari.
“Saya berasa sedih nasib yang menimpa semua penumpang serta kru pesawat tersebut sekaligus berita insiden ini cukup menyentuh hati saya. Saya juga pernah berkhidmat dengan MAS. Jadi bila saya mendengar berita ini, saya cuba meletakkan diri saya seketika di kalangan kru pesawat tersebut. Saya tidak dapat bayangkan, kalaulah saya juga berada di dalam pesawat dan bertugas pada ketika itu. Saya juga tidak dapat bayangkan bagaimana perasaan ahli keluarga mangsa-mangsa.
“Saya sentiasa mengikuti perkembangan krisis ini. Sepertimana yang kita semua tahu, ini adalah kejadian kali pertama yang dihadapi negara. Sehingga ke saat ini semakin banyak persoalan yang bermain di fikiran kita. Tapi sebagai manusia dan umat Islam, kita semua menerima ujian dari Allah ini dan saya berdoa supaya segala usaha yang dilakukan oleh kerajaan dan juga seluruh dunia dipermudahkan dan pesawat itu segera ditemui. Saya berdoa semoga semuanya selamat”, kata Eja ketika dihubungi Malaysian Digest.com
Sebelum terjun ke dunia lakonan, Eja atau nama sebenarnya Siti Shahrizah Saifuddin, 42, merupakan seorang pramugari MAS dan pernah berkhidmat dengan syarikat penerbangan tersebut selama lima tahun.
Dalam pada itu, atas rasa simpati dan prihatin ekoran krisis kehilangan pesawat MH370, baru-baru ini Eja turut menghulurkan bantuan sekaligus menjayakan misi sekumpulan sukarelawan dalam misi yang diberi nama ‘Underground Mission Malaysia (UMARKMALAYSIA)’.
Pada hari Sabtu lepas, kumpulan sukarelawan berkenaan telah memberikan sumbangan berbentuk makanan dan minuman kepada para petugas media, kakitangan MAS serta para sukarelawan seperti kaunselor, pengawal keselematan dan anggota polis yang bertugas di lapangan antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
“Ya, saya ada menghulurkan sedikit bantuan bagi meringankan beban. Tidaklah seberapa bantuan yang saya hulurkan tetapi saya cukup berbesar hati dan terpanggil untuk sama-sama menyokong usaha murni kumpulan sukarelawan ini.
“Selama ini selain perkembangan status pesawat tersebut, media melaporkan mengenai keadaan keluarga-keluarga penumpang. Tapi mungkin ramai yang tidak tahu pergorbanan para petugas media, pengawal serta anggota polis dan kakitangan yang bertugas sepanjang hari di lapangan terbang.
“Jadi kumpulan sukarelawan ini tampil memberi sumbangan dalam bentuk makanan dan minum kepada para petugas media, pengawal serta anggota polis dan kakitangan yang bertugas sepanjang hari di KLIA”, katanya.
Selain Eja, selebriti lain yang turun sama menghulurkan bantuan menjayakan misi UMARKMALAYSIA seperti Ogy Ahmad Daud, Fazlina Ahmad Daud dan Nurul Wahab.
Terdahulu, dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh MAS pada 8 Mac lalu, MAS mengesahkan bahawa penerbangan MH370 yang berlepas dari Kuala Lumpur pada pukul 12.41 pagi telah terputus hubungan dengan Menara Kawalan Trafik Udara di Subang.
MH370 dijadualkan sepatutnya mendarat di Beijing pada pukul 6.30 pagi hari yang sama. Penerbangan itu membawa seramai 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal.
Sehingga hari ini, masuk hari ke-11 pesawat MH370 masih belum ditemui dan usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan. – Malaysian Digest

View the original article here

No comments:

Post a Comment