Thursday, 10 July 2014

Serangan Waktu Sahur!!!!!!!!!!!

seranganmasaberbuka


Bandaraya Gaza: Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh apabila pesawat tempur tentera Israel melepaskan bedilan roket ke Semenanjung Gaza bermula awal pagi semalam dalam kempen terbaru rejim Zionis di wilayah itu.


Di tengah Gaza seorang lelaki terbunuh berhampiran kem pelarian Nusseirat. Sejurus kemudian empat orang di dalam sebuah kereta maut selepas terkena bedilan roket Israel.

mayatyangdiserangketikabersahur

Tujuh orang lagi terkorban dan 25 yang lain cedera apabila bedilan roket Israel terkena sebuah rumah di Khan Younis di selatan Gaza. Identiti mereka bagaimanapun belum dikenal pasti. 

Presiden Mahmus Abbas mendesak Israel menghentikan segera kempen serangannya dan menggesa dunia mengenakan tekanan ke atas kerajaan Perdana Menteri Benjamin Netanyahu.

Bagaimanapun, Kabinet Israel dijangka memanggil kira-kira 40,000 anggota pasukan simpanannya untuk meningkatkan serangan ke wilayah terbabit.

Pesawat tempur Israel membedil lebih 50 sasaran di Gaza awal semalam selepas pejuang Hamas melancarkan roket merentasi sempadan, sekali gus menjerumuskan kedua-dua pihak ke arah konflik lebih besar.

Ia adalah ketegangan paling serius di wilayah itu sejak November 2012 dan berlaku ketika Israel bertungkus-lumus mengekang gelombang kemarahan di bandar Arab berhubung pembunuhan ngeri remaja Palestin oleh pelampau Yahudi. 
Tentera Israel mengesahkan ia memulakan kempen udara yang digelar Operation Protective Edge bertujuan mengurangkan bedilan roket ke selatan Israel.

“Kira-kira 50 sasaran diserang, antaranya ialah empat rumah milik pejuang, kawasan pelancaran roket dan infrastruktur pejuang. Objektif operasi menyerang Hamas dan mengurang bedilan roket ke Israel,” kata jurucakapnya.

Setakat ini, bedilan itu cuma memberikan kecederaan kecil di sebelah Israel.

Pasukan keselamatan Palestin berkata, lebih 70 kawasan menjadi sasaran serangan udara. Saksi berkata, beberapa rumah menjadi sasaran, terutama di bandar raya Khan Yunis.

Hamas memberi amaran rejim Zionis sudah melanggar batasan dan akan membayar harganya.

“Jika dasar ini tidak dihentikan, kami akan bertindak balas dengan meluaskan kawasan sasaran hingga ke tahap musuh akan terkejut,” kata sayap tentera pergerakan itu, Briged Ezzedine al-Qassam, dalam satu kenyataan.

Tentera berkata, 81 serangan roket disasarkan ke selatan Israel kelmarin, dengan kira-kira satu pertiga daripadanya dalam masa singkat pada sebelah petang.

Awal semalam, enam lagi roket mendarat di selatan.

Siren kedengaran di 10 bandar, termasuk Beit Shemesh, 80 kilometer dari Semenanjung Gaza, kata kenyataan tentera. Kira-kira 16 bedilan roket dilepaskan sekitar bandar raya Beersheva di selatan, 40 kilometer dari Gaza dan mempunyai kira-kira 200,000 penduduk. - AFP

No comments:

Post a Comment