Wednesday, 2 July 2014

MISTERI NAMELESS THING DI BERKELEY SQUARE


 Beratus tahun yang lalu, sesuatu yang mengerikan terjadi di Berkeley Square.

Nameless Thing of Berkeley Square adalah sebuah gelaran yang diberikan kepada entiti misteri yang kelihatan pada abad ke 18 dan 19 di sebuah bangunan era Victorian bernama 50 Berkeley Square di England.

Walaupun kebanyakan penyelidik lebih condong memasukkan peristiwa ini ke dalam kategori supernatural, sebahagian lainnya beranggapan entiti ini boleh dimasukkan ke dalam kategori cryptid atau Predator. 

Bangunan yang angker

Kisah misteri ini berpusat pada sebuah kompleks perumahan yang disebut Berkeley Square.


Kompleks Berkeley Square dibina pada tahun 1740 oleh seorang arkitek bernama William Kent. Kompleks ini pernah menjadi tempat kediaman tokoh-tokoh penting, diantaranya adalah Winston Churchill yang tinggal di bangunan no.48. Lalu, George Canning, Perdana Menteri Britain tahun 1827. Beliau tinggal di bangunan no.50. Dan di bangunan inilah, misteri ini bermula.

Tidak ada yang tahu pasti bila dan bagaimana bangunan ini mendapatkan reputasi angkernya. Namun, peristiwa aneh yang menyertai bangunan ini sebenarnya sudah bermula sejak akhir tahun 1700an. Konon menurut legenda, seorang anak perempuan yang tinggal di bangunan itu dibunuh dengan sadis oleh penjaga mereka. Sejak saat itu, roh gadis kecil itu sering kelihatan sedang menangis di tingkat atas.

Namun pada tahun 1840, bangunan ini berjaya membina reputasinya menjadi salah satu bangunan yang paling ditakuti di United Kingdom.

Seram di tingkat dua

Pada tahun itu, Sir Robert Warboys yang baru berusia 20 tahun mendengar khabar angin mengenai bangunan berhantu itu. Dibesarkan sebagai seorang terpelajar, Warboys menganggap khabar angin itu hanya sebagai sebuah urban legend. Rakan Warboys yang tidak bersetuju dengan pandangan itu akan mencabar beliau untuk bermalam di tingkat dua bangunan itu.

Dengan angkuh, dia menerima cabaran itu.

Setelah berjaya meyakinkan penjaga bangunan, Warboys diberikan sebuah bilik di tingkat dua, persis di atas bilik si penjaga.

Lalu Warboys naik ke bilik tidur itu berbekal sebuah pistol dan sebatang lilin.

Empat puluh lima minit kemudian, si penjaga terbangun dari tidurnya. Dia mendengar bunyi kecoh di bilik atas, bilik yang didiami Warboys. Beberapa saat kemudian, bunyi tembakan terdengar. Dengan tergesa-gesa, dia segera beranjak dan berlari menuju ke atas. Sesampai di pintu bilik, dia menolaknya dengan paksa.

Apa yang dilihatnya tidak akan pernah dilupakannya seumur hidup.

Keadaan di dalam bilik itu hampir tidak berubah. Namun, di sudut bilik yang agak gelap, Sir Robert Warboys terbujur kaku sambil memegang erat senapang yang masih mengeluarkan asap. Dia sudah tidak bernyawa lagi!

Apa yang lebih mengerikan adalah ekspresi wajah Warboys.

Giginya terkatup dengan rapat, dan kedua matanya seakan-akan hendak tercabut keluar dari tengkorak. Seperti dia telah melihat sesuatu yang mengerikan yang telah membunuhnya seketika.

Tidak ada petunjuk mengenai apa yang telah menyebabkan Warboys mati dengan tragis. Sang penjaga hanya menemui sebuah lubang di dinding akibat peluru yang ditembakkan dari senapang beliau.

Apa yang telah ditembaknya?

Yang pasti "sesuatu" yang mengerikan.

Beberapa puluh tahun kemudian, "sesuatu" itu muncul kembali. Kali ini, ia kelihatan oleh saksi yang hidup!


Pengalaman dua pelaut

Pada tahun 1887, dua pelaut dari kapal HMS Penelope di Portsmouth bernama Robert Martin dan Edward Blunden yang baru saja menghabiskan wang untuk mabuk-mabukan masuk ke kompleks Berkeley Square dan memutuskan untuk masuk ke salah satu bangunan yang ada disitu untuk mencari tempat berehat. Kebetulan mereka memilih bangunan no.50.


Saat itu, 50 Berkeley Street sudah tidak berpenghuni dan dalam keadaan kosong.

Kemudian mereka berjaya mencari jalan masuk ke bawah tanah dan memecah masuk ke dalamnya. Kerana keadaan lantai yang lembab, keduanya naik ke atas, lalu tidur di bilik yang sama dengan bilik yang diduduki Warboys.

Ketika memasuki bilik itu, Blunden yang kurang mabuk dibanding Martin segera menyedari suasana di bilik itu membuatnya gelisah. Dia berasa kehadiran "sesuatu". Namun Martin segera menenangkannya dengan membuka tingkap bilik untuk membiarkan angin malam bertiup masuk.

Sekitar satu jam kemudian, kira-kira tengah malam, Blunden terbangun kerana mendengar bunyi pintu bilik berderik. Sambil menggosokkan matanya, dia melihat pintu bilik telah terbuka.

Blunden yang hairan kemudian memeriksa sekelilingnya.

Tiba-tiba dia melihat sesuatu!

Dalam keadaan yang samar-samar, Blunden melihat sesosok aneh berwarna kelabu merayap dengan perlahan di lantai kayu. Seiring dengan pergerakan makhluk itu, Blunden boleh mendengar bunyi gesekan dengan lantai bilik.

Dengan dicengkam oleh ketakutan yang amat sangat, Blunden membangunkan Martin.

Martin yang terbangun segera sedar apa yang sedang berlaku di bilik itu. Keduanya lalu melompat dari tempat tidur.

Makhluk itu kelihatan berdiri dengan aneh di hadapan mereka. Di belakangnya terdapat pintu bilik yang menjadi satu-satunya harapan mereka untuk melarikan diri.

Blunden yang gementar melirik ke arah senapangnya yang terletak berhampiran tingkap. Ketika dia cuba meraihnya, tiba-tiba makhluk itu melompat dan mendarat di leher Blunden. Blunden panik, dia mula berteriak dan bergomol dengan makhluk itu.

Melihat kesempatan itu, Martin dengan cepat berlari keluar bilik, menuruni tangga, keluar dari bangunan dan segera berteriak mencari pertolongan. Tidak berapa lama kemudian, dia berjumpa dengan seorang polis yang sedang membuat rondaan.

Ketika mereka kembali ke bangunan itu, mereka mendapati bilik dalam keadaan kosong. Blunden tidak ada disitu!

Lalu, mereka mula mencari ke seluruh bangunan. Ketika sampai di bawah tanah, mereka menemui Blunden. Namun, dia sudah tidak bernyawa dengan keadaan tubuh terpotong-potong!

Sama seperti ekspresi kematian Sir Robert Warboys, wajah Blunden menunjukkan ekspresi ketakutan yang amat sangat.

Dalam versi lain, diceritakan Blunden tidak mati di bawah tanah, melainkan mati kerana jatuh dari tingkap akibat ketakutan. Walaupun ada versi-versi yang berbeza, yang pasti semua sepakat ada sesuatu yang mengerikan mendiami bangunan 50 Berkeley Square.

Pengalaman Thomas Lyttelton 
Kisah yang dialami oleh Martin mungkin akan dianggap sebagai cerita bohong pelaut yang sedang mabuk. Namun penampakan makhluk ini ternyata juga dialami oleh tokoh masyarakat yang sepertinya tidak punya alasan untuk berbohong. Salah satunya adalah ahli parlimen bernama Thomas Lyttelton yang pernah tinggal di bangunan yang sama untuk beberapa waktu.

Pada suatu malam, ketika hendak tidur, Lyttelton melihat sesuatu seperti makhluk hidup di kamarnya. Dia mengambil senapangnya dan menembak. Dia yakin makhluk itu tertembak kerana dia melihatnya jatuh. Namun dia tidak menemui jejak atau bangkainya.

Makhluk apakah itu?

Menurut para saksi yang mengaku pernah melihatnya, makhluk itu hampir tidak berbentuk dan kelihatan seperti cecair melekat. Ketika ia bergerak, ia akan menghasilkan buni-bunyi yang aneh. Keterangan yang diberikan cukup berbeza-beza, salah satu saksi mengaku menyaksikan makhluk itu mempunyai tentakel seperti sotong.

Kerana adanya keterangan inilah, beberapa penyelidik menyimpulkan makhluk itu kemungkinan adalah jenis sotong atau makhluk air lain yang telah bermutasi dan berjaya berhijrah dari sungai Thames ke saluran bawah tanah bandar London yang akhirnya membuat ia sampai ke bangunan Berkeley Square melalui paip paip.

Makhluk ini mungkin sedang mengintai kumpulan tikus yang tinggal di bangunan itu ketika tanpa sengaja menemui para pelaut-pelaut mabuk itu.

Namun, tidak ada penjelasan yang memuaskan mengenai rentang waktu pemerhatian yang cukup panjang. Jika makhluk itu memang seekor makhluk air yang bermutasi, sepertinya cukup mustahil kerana penampakannya mencapai hingga dua ratus tahun.

Kerana itu, ramai yang percaya makhluk itu adalah makhluk ghaib, bukan cryptid atau pemangsa.


Harry Price, salah seorang yang meneliti misteri ini secara intensif pada tahun 1920an mendapati beberapa fakta menarik. Misalnya, sebelum tahun 1790, 50 Berkeley Square ternyata pernah dijadikan markas para pemalsu dokumen. Price membuat spekulasi kisah angker bangunan itu mungkin telah direka oleh para pemalsu tersebut untuk menutup aktiviti haram mereka. Namun, setelah Price meneliti lebih dalam, dia menemui banyak kesaksian dan dokumentasi yang menceritakan kisah perjumpaan dengan Nameless Thing.

Misalnya, dia menemui sebuah artikel di majalah "Notes and Queries" yang ditulis oleh WE Howlett yang terbit tahun 1870. Disitu tertulis:

     "Peristiwa Berkeley Square masih misteri. Kisah bangunan berhantu di Mayfair itu boleh disimpulkan dengan beberapa kata: Bangunan itu mempunyai paling tidak satu bilik dengan atmosfera ghaib yang memilik kesan buruk terhadap tubuh dan fikiran. Seorang gadis pernah melihat dan mendengar seram itu dan menjadi gila kerananya. Dia tidak pernah sembuh untuk boleh menceritakan apa yang telah dilihatnya. "

Melihat dokumentasi yang cukup banyak, Price hanya boleh mengambil kesimpulan memang aktiviti Poltergeist yang jahat aktif di bangunan no.50 pada tahun 1800an. Namun dia percaya aktiviti itu telah lenyap sekarang.


Berkeley Square - Sekarang

Sejak tahun 1938 hingga kini, lantai dasar bangunan Berkeley Square telah digunakan sebagai kedai buku yang bernama Maggs Brothers.

Ed Maggs - pemilik kedai buku Maggs Brothers
Walaupun makhluk tersebut tidak lagi kelihatan dalam beberapa puluh tahun kebelakangan ini, perlu diingat para pekerja kedai buku itu tidak dibenarkan untuk naik ke tingkat atas. Menurut mereka, sejak tahun 1950an, polis telah meletakkan sebuah tanda peringatan pada dinding di dalam bangunan.

Peringatan itu menyebut tingkat atas bangunan itu tidak boleh digunakan, bahkan untuk gudang sekalipun.

Tidak ada satu orang pun yang mengetahui sebab pastinya ... tetapi, paling tidak mereka boleh menduga.

No comments:

Post a Comment