type='html'>KUALA LUMPUR: Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein hari ini menafikan dakwaan bahawa Malaysia menyembunyikan maklumat mengenai pergerakan penerbangan MH370.
"Bagi keluarga, saya faham setiap hari perasaan semakin terseksa. Saya faham kerana Malaysia juga kehilangan 'anak-anaknya'. Ada 50 rakyat Malaysia dalam pesawat itu.
"Keutamaan kami pada sepanjang masa ialah mencari pesawat itu. Kami tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat yang dapat membantu. Akan tetapi kami juga mempunyai tanggungjawab untuk tidak mendedahkan sebarang maklumat sehingga disahkan oleh pasukan penyiasat antarabangsa," katanya dalam sidang media, di sini.
Katanya, tanggungjawab itu bukan sahaja terhadap keluarga dan pasukan penyiasat, tetapi juga operasi mencari dan menyelamat kerana adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab untuk mengerahkan sejumlah besar aset hanya berasaskan maklumat yang tidak sah dan sahih.
"Sebaik sahaja wujud kemungkinan pesawat berpatah balik ke Selat Melaka, kami memperluas pencarian ke kawasan itu," katanya.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment